"Seseorang yang mengikuti hawa nafsunya, berarti menyerah kepada keinginan musuhnya"

Aku mengamati semua sahabat, dan tidak menemukan sahabat yang lebih baik daripada menjaga lidah. Saya memikirkan tentang semua pakaian, tetapi tidak menemukan pakaian yang lebih baik daripada takwa. Aku merenungkan tentang segala jenis amal baik, namun tidak mendapatkan yang lebih baik daripada memberi nasihat baik. Aku mencari segala bentuk rezki, tapi tidak menemukan rezki yang lebih baik daripada sabar.
(Khalifah ‘Umar)

Saturday, June 11, 2011

Apakah hukum hobi bela burung?


Soalan:

Apa pandangan tuan berhubung hobi membela burung, seperti burung merbuk, burung tekukur dan ayam serama. Ada yang untuk dipertandingkan suaranya, sabung ayam atau semata-mata untuk berhibur dengan mendengar suaranya dan melihat kecantikannya. Bertahun-tahun burung itu terkurung dalam sangkar, sehingga ada yang mati beragan. Wajarkah hobi itu pada pandangan Islam? Mohon penjelasan.

Jawapan:

ISLAM amat mengharamkan kezaliman dalam apa bentuk sekalipun, sama ada sesama manusia, atau haiwan, termasuk burung.

Perbuatan mengurung makhluk yang hidup dalam kurungan yang sempit, seperti mengurung burung dalam sangkar adalah sama dengan memenjarakan manusia, tanpa sebarang kesalahan yang dilakukan.

Perbuatan itu adalah suatu penganiayaan atau kezaliman yang diharamkan oleh syarak. Allah berfirman (mafhumnya): “Dan sesiapa yang berlaku zalim ke atasmu, Kami akan menjatuhkan ke atasnya azab yang besar.” (al-Furqan: 19)

Dalam sebuah hadis daripada Jabir ra, katanya Rasulullah saw bersabda (mafhumnya): “Takutilah atau jauhilah daripada melakukan kezaliman kerana kezaliman itu akan mengundang azab Allah ke atas pelakunya pada hari Kiamat.” (Riwayat Imam Muslim)

Burung adalah makhluk Allah yang juga mempunyai perasaan untuk hidup bebas, bersukaria, berkawan, berpasangan, beranak-pinak tanpa diganggu sesiapa.
Tiba-tiba burung-burung itu dikurung dalam kurungan yang kecil, sehingga ada yang mati dalam kurungan tersebut.

Dalam suatu hadis sahih Jabir bin Abdullah meriwayatkan Rasulullah saw bersabda (mafhumnya): “Seorang perempuan diazab pada hari kiamat angkara seekor kucing yang dikurungnya sehingga mati, tanpa memberi makan dan minum atau membebaskannya untuk mencari makanan sendiri di muka bumi.” (Riwayat Imam Muslim)

Apa bezanya kisah seekor kucing yang dikurung hingga mati, sehingga orang yang mengurungnya dimasukkan ke dalam neraka, dengan seorang yang mengurung seekor burung, juga hingga mati?

Persoalan utama di sini ialah soal kezaliman. Kezaliman amat dilarang.
Kita sebagai manusia, juga akan merasakan diri teraniaya apabila kita terkurung dalam sebuah istana yang indah, walaupun diberi dengan segala macam kehidupan, diberi makan minum, hiburan dan sebagainya, tetapi kita tidak diberi kebebasan. Hanya terperap atau terkurung dalam kurungan itu sahaja.

Jika kita boleh merasakan keadaan ini sebagai suatu kezaliman, maka bayangkan burung yang kita kurung dalam sangkar kecil, yang hanya diberi makan sejenis makanan atau beberapa jenis makanan yang terhad, sedangkan burung-burung itu seharusnya hidup bebas, berkelamin, bersukaria dan boleh menikmati apa jua makanan yang mereka pilih sendiri daripada rezeki yang Allah berikan.

Burung atau haiwan adalah makhluk Allah, mereka beriman kepada Allah, sesuai dengan kehidupan dan alam mereka.

Firman Allah SWT (mafhumnya): “Tidakkah engkau mengetahui bahawasanya Allah sentiasa bertasbih kepadanya sekelian makhluk yang ada di langit dan juga di bumi, dan burung-burung yang terbang berbaris bersaf-saf di angkasa, masing-masing sedia mengetahui cara beribadah kepada Allah dan memuji-muji Allah. Allah Maha Mengetahui akan apa yang mereka lakukan.” (an-Nuur: 41)

Seandainya, burung yang dikurung itu, yang kebetulan mengenali Allah, bertasbih kepada Allah, bersolat kepada Allah, mematuhi perintah Allah, ia dekat dengan Allah, tiba-tiba dizalimi.

Jika burung itu berdoa yang tidak baik kepada Allah, memohon Allah menurunkan bala kepada insan yang menzalimi mereka, apa yang terjadi? Ingatlah bahawa doa makhluk yang dizalimi, tidak akan dipersia-siakan oleh Allah SWT.

Oleh itu, wajarlah diinsafi bahawa perbuatan mengurung makhluk-makhluk yang seperti ini, padahnya amat besar jika hendak dibandingkan dengan faedah yang boleh didapati. Faedah keseronokan mendengar suara burung-burung itu, sedangkan hati mereka menangis, suara kicauan mereka, mana tahu ketika itu mereka sedang memaki hamun orang yang mengurung mereka.

Kelak insan yang zalim akan mendapat balasan Allah SWT yang begitu teruk dan azabnya begitu dahsyat. Tidak akan berasa beruntung walaupun sedikit.

Maka dengan sebab itulah Islam mengharamkannya. Wallahu`alam.

Sumber: Bersama Dato` Dr Harun Din

No comments:

Post a Comment