"Seseorang yang mengikuti hawa nafsunya, berarti menyerah kepada keinginan musuhnya"

Aku mengamati semua sahabat, dan tidak menemukan sahabat yang lebih baik daripada menjaga lidah. Saya memikirkan tentang semua pakaian, tetapi tidak menemukan pakaian yang lebih baik daripada takwa. Aku merenungkan tentang segala jenis amal baik, namun tidak mendapatkan yang lebih baik daripada memberi nasihat baik. Aku mencari segala bentuk rezki, tapi tidak menemukan rezki yang lebih baik daripada sabar.
(Khalifah ‘Umar)

Saturday, September 10, 2011

Hukum Bermazhab

Hukum Bermazhab...


بسم الله الرحمن الرحيم
الحمد لله والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى آله وصحبه أجمعين , أما بعد

Firman Allah Taala di dalam surah an-Nahl ayat 44:

بِالْبَيِّنَاتِ وَالزُّبُرِ وَأَنْزَلْنَا إِلَيْكَ الذِّكْرَ لِتُبَيِّنَ لِلنَّاسِ مَا نُزِّلَ إِلَيْهِمْ وَلَعَلَّهُمْ يَتَفَكَّرُونَ

Maksudnya: (Kami utuskan Rasul-rasul itu) membawa keterangan-keterangan yang jelas nyata (yang membuktikan kebenaran mereka) dan Kitab-kitab suci (yang menjadi panduan); dan Kami pula turunkan kepadamu (Wahai Muhammad) Al-Quran yang memberi peringatan, supaya Engkau menerangkan kepada umat manusia akan apa yang telah diturunkan kepada mereka, dan supaya mereka memikirkannya.

Firman Allah lagi pada surah yang sama ayat 64:

وَمَا أَنْزَلْنَا عَلَيْكَ الْكِتَابَ إِلا لِتُبَيِّنَ لَهُمُ الَّذِي اخْتَلَفُوا فِيهِ وَهُدًى وَرَحْمَةً لِقَوْمٍ يُؤْمِنُونَ

Maksudnya: Dan tiadalah Kami menurunkan Al-Quran kepadamu (Wahai Muhammad) melainkan supaya Engkau menerangkan kepada mereka akan apa yang mereka berselisihan padanya; dan supaya menjadi petunjuk dan rahmat bagi orang-orang yang beriman.

Daripada firman Allah ini dapat kita fahami di antara tugas baginda adalah menerangkan maksud dan isi Al-Quran yang diturunkan oleh Allah kepada manusia agar terlerai segala kekeliruan serta menjadikan panduan Al-Quran mampu difahami dan diamalkan. Kewafatan baginda Nabi bukan pemutus segala-galanya, tetapi tugas itu disambung oleh mereka yang mewarisi tugas para Nabi dan Rasul. Bermula daripada para sahabat seterusnya para tabien dan Ulama berterusan sehingga hari kiamat. Sabda Nabi yang diriwayatkan oleh Said bin Abd Aziz di dalam Mu’jam Kabir;

كَانَ الْعُلَمَاءُ بَعْدَ مُعَاذِ بن جَبَلٍ عَبْدُ اللَّهِ بن مَسْعُودٍ ، وَأَبُو الدَّرْدَاءِ ، وَسَلْمَانُ ، وَعَبْدُ اللَّهِ بن سَلامٍ ، وَكَانَ الْعُلَمَاءُ بَعْدَ هَؤُلاءِ زَيْدُ بن ثَابِتٍ ، ثُمَّ كَانَ بَعْدَ زَيْدٍ ، ابْنُ عُمَرَ وَابْنُ عَبَّاسٍ .

Maksudnya: Ulama setelah Muaz bin Jabal ialahAbdullah bin Masu’d, Abu Darda’, Salman dan Abdullah bin Salam. Adapun Ulama setelah mereka ialah Zaid bin Thabit. Ulama setelah Zaid ialah Ibn Umar dan Ibn Abbas.

Sabda Nabi yang diriwayatkan oleh Tarmidzi, Ahmad, Ibn Majah dan Darimi;

عَنْ كَثِيرِ بْنِ قَيْسٍ قَالَ كُنْتُ جَالِسًا عِنْدَ أَبِي الدَّرْدَاءِ فِي مَسْجِدِ دِمَشْقَ فَأَتَاهُ رَجُلٌ فَقَالَ يَا أَبَا الدَّرْدَاءِ أَتَيْتُكَ مِنْ الْمَدِينَةِ مَدِينَةِ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لِحَدِيثٍ بَلَغَنِي أَنَّكَ تُحَدِّثُ بِهِ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ فَمَا جَاءَ بِكَ تِجَارَةٌ قَالَ لَا قَالَ وَلَا جَاءَ بِكَ غَيْرُهُ قَالَ لَا قَالَ فَإِنِّي سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ مَنْ سَلَكَ طَرِيقًا يَلْتَمِسُ فِيهِ عِلْمًا سَهَّلَ اللَّهُ لَهُ طَرِيقًا إِلَى الْجَنَّةِ وَإِنَّ الْمَلَائِكَةَ لَتَضَعُ أَجْنِحَتَهَا رِضًا لِطَالِبِ الْعِلْمِ وَإِنَّ طَالِبَ الْعِلْمِ يَسْتَغْفِرُ لَهُ مَنْ فِي السَّمَاءِ وَالْأَرْضِ حَتَّى الْحِيتَانِ فِي الْمَاءِ وَإِنَّ فَضْلَ الْعَالِمِ عَلَى الْعَابِدِ كَفَضْلِ الْقَمَرِ عَلَى سَائِرِ الْكَوَاكِبِ إِنَّ الْعُلَمَاءَ هُمْ وَرَثَةُ الْأَنْبِيَاءِ إِنَّ الْأَنْبِيَاءَ لَمْ يُوَرِّثُوا دِينَارًا وَلَا دِرْهَمًا إِنَّمَا وَرَّثُوا الْعِلْمَ فَمَنْ أَخَذَهُ أَخَذَ بِحَظٍّ وَافِرٍ

Maksudnya: Kathir bin Qais meriwayatkan dengan katanya: Aku duduk di sisi Abu Darda’ di Masjid Dimasy. Tiba-tiba datang seorang lelaki lalu berkata: Wahai Abu darda’, aku datang dari Madinah kota baginda Rasulullah hanya semata-mata kerana satu hadis yang aku dimaklumkan engkau meriwayatkannya daripada baginda. Berkata Abu Darda’: Apakah engkau datang ke sini dengan niat untuk meniaga? Dia menjawab: Tidak. Tanya lagi: Apakah dengan niat dan tujuan yang selain mengambil hadis daripada ku? Dia menjawab: Tidak. Maka berkata Abu Darda’: Sesungguhnya aku mendengar Rasulullah bersabda: Sesiapa yang berjalan keluar untuk menuntut ilmu, nescaya Allah memudahkan jalannya menuju syurga. Para Malaikat akan menghamparkan sayap sebagai tanda redha dengan penuntut ilmu. Semua yang di langit dan di bumi akan memohon ampun untuk penuntut ilmu sehinggakan ikan di lautan. Keutamaan seorang alim ke atas seorang ahli ibadat seumpama keutamaan bulan dibandingkan kesemua bintang-bintang. Ulama itu pewaris para Nabi, para Nabi tidak mewariskan dinar atau dirham tetapi mewariskan ilmu. Sesiapa yang mengambil warisan tersebut maka dia telah memperoleh keuntungan yang besar.

Dari sini dapat kita menyimpulkan, peranan Ulama adalah meneruskan tugas para Nabi dan Rasul untuk menjelaskan maksud Al-Quran dan Hadis baginda Nabi. Setiap bidang ilmu terdapat metodologi yang perlu diikuti dan diraikan. Semua manusia berakal meyakini tidak ada satu ilmu pun yang tidak mempunyai metodologi tersendiri. Syarak membawa metodologi yang paling sempurna dalam semua bidang. Maka erti dan maksud sebenar yang ingin disampaikan oleh Al-Quran dan Hadis tidak akan difahami atau mustahil difahami tanpa bantuan daripada Ulama.

SIAPA ULAMA YANG WAJIB DIIKUTI

Ulama yang dimaksudkan di sini adalah para Mujtahid seumpama Imam Abu Hanifah, Imam Malik, Imam Syafie dan Imam Ahmad.

Sepakat Ulama: WAJIB bertaklid kepada para Mujtahid kepada sesiapa yang tidak mencapai martabat ijtihad sama ada dia orang awam atau si alim yang tidak mencapai martabat ijtihad. Ini metodologi yang disepakati dahulu hingga sekarang. Tidak ada yang mengingkarinya kecuali yang tersesat cara fikirnya. Ini berdasarkan firman Allah Taala di dalam surah an-Nahl ayat 43 dan al-Anbiya ayat 7:

وَمَا أَرْسَلْنَا مِنْ قَبْلِكَ إِلا رِجَالا نُوحِي إِلَيْهِمْ فَاسْأَلُوا أَهْلَ الذِّكْرِ إِنْ كُنْتُمْ لا تَعْلَمُونَ

Maksudnya: dan tidaklah Kami mengutus Rasul-rasul sebelum mu (Wahai Muhammad), melainkan dari kalangan orang-orang lelaki, yang Kami wahyukan kepada mereka. oleh itu bertanyalah kamu (Wahai golongan musyrik) kepada orang-orang yang berpengetahuan agama jika kamu tidak mengetahui.

Bahkan secara Ijmak wajib kepada awam yang tidak mendalami metodologi hukum atau si alim yang tidak mencapai taraf ijtihad untuk bertanya dan mengikuti para mujtahid dalam hukum syarak. Ini berdasarkan perbuatan Sahabat dan para Tabiin yang mana mereka ditanya dan diminta fatwa lalu dijawab tanpa disertakan dalil.

Sudah luput dari zaman siapa yang dikatakan Mujtahid. Apa yang baki ialah Alim yang mengetahui selok-belok setiap mazhab yang ada. Mereka inilah pedoman untuk memahami hukum hakam yang disampaikan oleh para Mujtahid. Para Mujtahid mengambil daripada Mujtahid sebelumnya, generasi sebelumnya mengambil daripada baginda lalu bersambung dengan wahyu Allah Taala.

MAZHAB MANA YANG PERLU DIIKUTI

Dibenarkan kepada mana-mana individu untuk mengikut mana-mana Mujtahid. Ini bergantung pada kemudahan untuk dia bertanya soal berhubung dengan soal hukum yang berlaku. Penduduk India sesuai dengan Mazhab Hanafi kerana Ulamanya banyak daripada Hanafi. Di Malaysia sesuai dengan Mazhab Syafie kerana Ulamanya bermazhab Syafie. Mesir sesuai untuk mengikut mana-mana mazhab kerana terdapat Ulama di dalam semua Mazhab.

Wajib berpegang dengan satu mazhab, tidak dibenarkan campur di antara mazhab dengan mazhab. Ini untuk mengelakkan pincang dari sudut amalan. Sebagai contoh Hanafi membenarkan kahwin tanpa wali. Maliki benarkan kahwin tanpa saksi. Jika seseorang ingin berkahwin tanpa wali dan saksi kerana mengambil kedua mazhab. Amalan itu secara ijmak batil mengikut semua mazhab.

APAKAH BOLEH BERPINDAH MAZHAB

Pendapat yang terkuat di kalangan Ulama tidak diwajibkan kepada dua golongan berada di dalam satu-satu Mazhab, bahkan boleh berpindah dari satu mazhab ke mazhab yang lain;

1)) Awam yang mendapat fatwa daripada Ulama yang ditanyanya. Dia akan mengikut fatwa yang dikeluarkan tanpa mengira dari mazhab mana fatwa tersebut.

2) Si Alim (tidak sampai taraf mujtahid) yang mampu menganalisis, mengkaji, mengamati dan memahami metodologi hukum. Mereka ini tidak diwajibkan mengikut mazhab tertentu.

KESIMPULAN

1) Wajib kepada awam atau alim yang tidak mencapai martabat Ijtihad mengikuti salah satu daripada Mazhab yang Empat.

2) Boleh berpindah mazhab atau mengambil pendapat selain daripada pendapat di dalam mazhab yang di taklidnya sekiranya ditanya terlebih dahulu kepada mereka yang mengetahui.

3) Bukan bermaksud memahami hukum atau dalil hanya sekadar membaca satu dua hadis di dalam kitab sahih atau membuka tafsir yang diterjemahkan. Individu yang diberi autoriti untuk mengeluarkan pendapat adalah mereka yang memahami metodologi ilmu agama.

4) Dipersilakan untuk berpindah mazhab atau memilih mana-mana pendapat yang dirasakan perlu tetapi bukan untuk bermain-main. Keadaan perlu yang dimaksudkan seperti;

i) Berpindah ke negara yang tidak bermazhab dengan mazhab si awam tersebut.

ii) Ditimpa satu masalah yang tidak ada penyelesaian kecuali di dalam mazhab lain.

iii) Mengelakkan kepayahan di dalam beribadat dengan memilih pendapat yang agak ringan. Seperti masalah batal wuduk ketika tawaf dan seumpamanya.

Kelompok yang menjadikan pendapat mazhab sebagai permainan mendapat ancaman daripada Syarak sebagaimana dikatakan Imam Auzaie yang diriwayatkan di dalam Sunan Baihaqi;

مُحَمَّدَ بْنَ شُعَيْبِ بْنِ شَابُورَ يَقُولُ سَمِعْتُ الأَوْزَاعِىَّ يَقُولُ : مَنْ أَخَذَ بِنَوَادِرِ الْعُلَمَاءِ خَرَجَ مِنَ الإِسْلاَمِ.

Maksudnya: Sesiapa mengutip pendapat yang ganjil (tersalah) daripada pendapat Ulama, dia terkeluar daripada Islam.

Terdapat satu kisah yang diriwayatkan di dalam Sunan Baihaqi;

سَمِعْتُ إِسْمَاعِيلَ بْنَ إِسْحَاقَ الْقَاضِى يَقُولُ : دَخَلْتُ عَلَى الْمُعْتَضِدِ فَدَفَعَ إِلَىَّ كِتَابًا نَظَرْتُ فِيهِ وَكَانَ قَدْ جُمِعَ لَهُ الرُّخَصُ مِنْ زَلَلِ الْعُلَمَاءِ وَمَا احْتَجَّ بِهِ كُلٌّ مِنْهُمْ لِنَفْسِهِ فَقُلْتُ لَهُ يَا أَمِيرَ الْمُؤْمِنِينَ مُصَنِّفُ هَذَا الْكِتَابِ زِنْدِيقٌ فَقَالَ لَمْ تَصِحَّ هَذِهِ الأَحَادِيثُ قُلْتُ الأَحَادِيثُ عَلَى مَا رُوِيَتْ وَلَكِنْ مَنْ أَبَاحَ الْمُسْكِرَ لَمْ يُبِحِ الْمُتْعَةَ وَمَنْ أَبَاحَ الْمُتْعَةَ لَمْ يُبِحِ الْغِنَاءَ وَالْمُسْكِرَ وَمَا مِنْ عَالِمٍ إِلاَّ وَلَهُ زَلَّةٌ وَمَنْ جَمَعَ زَلَلَ الْعُلَمَاءِ ثُمَّ أَخَذَ بِهَا ذَهَبَ دِينُهُ فَأَمَرَ الْمُعْتَضِدُ فَأُحْرِقَ ذَلِكَ الْكِتَابُ

Maksudnya: Bercerita Ismail bin Ishak al-Qadi: Aku masuk bertemu Mu’tadid lalu beliau menyerahkan kepada ku satu kitab. Aku melihat di dalamnya dihimpunkan pendapat-pendapat ringan daripada pendapat Ulama yang tersalah. Masing-masing mempertahankan pendapat masing-masing. Aku berkata kepada Mu’tadid: Wahai Amirul Mukminin: Pengarang kitab ini seorang zindik, Khalifah berkata: Apakah hadis-hadis di dalamnya tidak sahih. Aku menjawab: Hadis-hadis sebagaimana yang diriwayatkan (sahih) tetapi mereka yang menghalalkan nabiz tidak mengharuskan mut’ah dan mereka yang mengharuskan mut’ah tidak mengharuskan muzik dan nabiz. Tidak ada seorang alim pun pasti terdapat kesilapan. Sesiapa yang menghimpun pendapat Ulama yang tersalah dan beramal dengannya, maka sirna lah agamanya. Maka Mu’tadid memerintahkan agar dibakar kitab tersebut.

5) Ulama adalah pewaris para Nabi dan Rasul untuk menerangkan Al-Quran dan Hadis sebagaimana yang diinginkan oleh Syarak. Sabda Nabi sebagaimana diriwayatkan di dalam Musnad Ahmad daripada Anas bin Malik baginda bersabda;

قَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِنَّ مَثَلَ الْعُلَمَاءِ فِي الْأَرْضِ كَمَثَلِ النُّجُومِ فِي السَّمَاءِ يُهْتَدَى بِهَا فِي ظُلُمَاتِ الْبَرِّ وَالْبَحْرِ فَإِذَا انْطَمَسَتْ النُّجُومُ أَوْشَكَ أَنْ تَضِلَّ الْهُدَاةُ

Maksudnya: Perumpamaan Ulama di bumi seumpama bintang yang berada di langit. Dijadikan petunjuk di dalam kegelapan darat atau lautan. Jika terpadam cahaya bintang maka tersesatlah mereka yang ingin mencari petunjuk.

Allahu A’lam

No comments:

Post a Comment