MUAWIYAH bin Abi Sufyan bin Harb bin Umaiyah ialah pengasas Bani
Umaiyah. Beliau ialah sahabat Nabi Muhammad dilahirkan pada tahun 602
Masihi. Lima tahun sebelum Nabi Muhammad menjadi rasul.
Beliau
memeluk Islam ketika berumur 25 tahun. Pada masa itu Mekah ditawan oleh
tentera Islam. Sebelum memeluk Islam, beliau seorang penentang yang
hebat dan kuat terhadap Islam. Abu Sufyan ialah bapa Muawiyah seorang
pemimpin Quraisy yang masyhur dan berpengaruh.
Pada masa Nabi
Muhammad, beliau dilantik sebagai seorang penulis wahyu dan banyak
melaporkan hadis serta mengetahui hadis Nabi Muhammad.
Selain
dilantik menjadi gabenor Syam selama 20 tahun, Muawiyah juga dilantik
menjadi khalifah pada 26 Rabiulawal tahun 41 Hijrah. Pada masa itu Hasan
bin Ali menyerahkan jawatan khalifah kepada Muawiyah.
Pada zaman
pemerintahan Khalifah Abu Bakar, Muawiyah dilantik menjadi ketua
pasukan tentera Islam semasa berperang di Syam. Semasa pemerintahan
Khalifah Umar al-Khatab, beliau dilantik sebagai gabenor di Jordan.
Semasa
Muawiyah menjadi khalifah, beliau banyak mencapai kejayaan dalam aspek
pemerintahan, pentadbiran, politik, ketenteraan, politik, dan lain-lain.
Muawiyah meninggal dunia pada tahun 60 Hijrah bersamaan 680 Masihi.
Muawiyah
adalah tokoh terkenal kerana mengubah corak pemerintahan daripada
demokrasi kepada sistem beraja. Beliau adalah pemerintah yang dihormati
dan digeruni oleh rakyatnya.
Pada suatu hari, semasa Muawiyah berada di istana, beliau bertanya kepada para pembesarnya yang lain mengenai dirinya.
Kata
Muawiyah: "Siapakah di antara pembesar beta ini yang dapat memberitahu
beta mengenai sesuatu. Siapakah orang yang lebih baik dan mulia selain
daripada ahli keluarga beta?"
Para pembesar yang ada di istana
itu tidak mahu menjawab. Kelihatan istana sunyi sepi. Tiba-tiba ada
seorang pembesar yang bernama Annuman al-Zirqi cuba menjawab pertanyaan
Muawiyah. Pembesar itu bangun menampilkan dirinya dengan berani.
Pada
masa itu, Hasan bin Ali turut berada di sana mendengar soalan yang
dikemukakan oleh Muawiyah. Hasan diam membisu. Tiba-tiba, datang
pembesar yang berani itu menghampiri Hasan bin Ali.
Kemudian
pembesar itu menarik tangan Hasan, lalu mengangkat tangan beliau sambil
berkata: "Orang yang mulia selain ahli keluarga tuanku ialah Hasan Bin
Ali."
"Apa kamu kata? Hasan bin Ali orang yang lebih mulia selain daripada keluarga beta?" Tanya Muawiyah dengan nada terkejut.
Muawiyah
terkejut mendengar jawapan daripada pembesar itu. Pembesar itu berani
mengatakan bahawa ada orang lain yang lebih mulia daripada ahli
keluarganya, sedangkan pada masa itu Muawiyah adalah seorang raja dan
pemerintah Bani Umaiyah.
"Benar tuanku. Hasan bin Ali adalah cucu
Nabi Muhammad dan Siti Khadijah. Beliau adalah anak Ali bin Abi Talib
dan Fatimah Az-Zahrah. Bagi saya Hasan bin Ali orang yang mulia dan
tiada bandingannya dengan orang lain," kata pembesar itu lagi.
Para
pembesar lain turut terkejut mendengar jawapan pembesar yang bernama
Annuman al-Zirqi itu. Semua para pembesar lain memandang tepat ke arah
muka beliau. Mereka memandang beliau dengan pandangan sinis.
"Berani
benar Annuman al-Zirqi berkata begitu di hadapan tuanku. Memang tidak
beradab beliau ini," kata salah seorang pembesar yang menyokong kuat
kepimpinan Muawiyah.
Ada di antara mereka marah terhadap Annuman
al-Zirqi kerana mereka adalah pembesar yang menyokong kuat dan setia
kepada Muawiyah.
"Maafkan hamba tuanku. Annuman al-Zirqi ini
mungkin kelaparan atau tidak cukup tidur semalam. Maka, sebab itulah
beliau berkata begitu," kata salah seorang pembesar lain bagi memujuk
hati Muawiyah.
Muawiyah tetap berada di sana. Kemudian Muawiyah
berasa seperti mahu marah terhadap Annuman al-Zirqi. Sebentar kemudian,
marahnya itu menjadi reda apabila Muawiyah duduk semula di atas kerusi
takhtanya itu.
"Maafkan saya tuanku. Saya berkata benar. Bagi
saya orang yang mulia daripada ahli keluarga tuanku adalah Hasan bin
Ali," kata Annuman al-Zirqi kepada Muawiyah.
"Tidak mengapa. Beta
sudah tahu kebenarannya. Orang yang mulia selain daripada keluarga beta
adalah Hasan bin Ali. Walaupun pada mulanya tadi beta agak terkejut dan
berkecil hati tetapi sekarang beta dapat menerima kenyataan itu. Beta
memaafkan kamu. Kamu berkata benar," jelas Muawiyah panjang lebar.
Para
pembesar lain yang turut berada di sana juga dapat menerima kenyataan
bahawa Annuman al-Zirqi seorang yang tegas dan bercakap benar. Mereka
tidak marah kepada Annuman al-Zirqi lagi.
Annuman al-Zirqi ialah
seorang pembesar yang berani. Beliau berani menyatakan kebenaran di
hadapan rajanya pada masa itu. Oleh yang demikian kita sebagai orang
Islam wajar mengambil iktibar daripada kisah ini.
Kita juga perlu bercakap benar dengan sesiapa sahaja yang kita jumpa. Orang yang bercakap benar tidak akan rugi.
l Petikan daripada buku Sayap Dari Syurga terbitan PTS Islamika Sdn. Bhd.
No comments:
Post a Comment